4.5.14

Program Masih Ada Yang Disayang






Pada hari Khamis, 1 Mei 2014 yang lalu, ETHICA iaitu Persatuan Bekas Penghuni Kolej Ketiga Universiti Malaya telah menganjurkan satu program Kemasyarakatan dan Amal di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin (Al-Khairah) Sungai Pinang, Klang, Tujuan program ini dianjurkan ialah untuk memberi sumbangan dan sebagai tanda keperihatinan ETHICA kepada golongan yang kurang bernasib baik dan yang sentiasa memerlukan bantuan dari segi kebendaan dan kewangan. 






Pengarah Program ETHICA kali ini ialah Abdul Ghani Shahbudin dengan dibantu oleh semua AJK yang diketuai oleh Presiden ETHICA sendiri, Dato' Salehuddin Saidin. Pemilihan rumah kebajikan ini adalah bertepatan dengan matlamat ETHICA untuk membantu dan mendekatkan diri dengan golongan kurang bernasib baik. Setelah dibuat kajian dikalangan beberapa pertubuhan rumah anak-anak yatim dan miskin di kawasan Lembah Kelang dan Selangor, maka telah dikenalpasti Pertubuhan ini yang paling sesuai untuk diadakan program pada hari ini. AJK ETHICA telah membuat kunjungan ke rumah ini bagi mengenalpasti keperluan yang diingini oleh anak anak di sini. Boleh klik di SINI untuk melihat entri kunjungan tersebut. Berdasarkan keadaan asrama dan tempat belajar yang agak uzur, kita terpanggil untuk memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, peralatan sekolah dan peralatan dewan.

Program tersebut adalah salah satu aspek sosial yang ingin diketengahkan, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli ETHICA dan penghuni Kolej Ketiga UM. Apa yang kami perolehi selama ini, kami pulangkan semula menerusi program khidmat masyarakat bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.







Dalam program ini, ETHICA turut menyalurkan sumbangan dalam bentuk peralatan dan wang tunai berjumlah RM30,000. Antara peralatan yang disumbangkan termasuk tilam, katil, bantal, pakaian sukan, kasut, sistem pembesar suara, peralatan kebersihan diri dan wang sagu hati kepada pelajar. Bantuan yang dihulurkan tidak akan terhenti setakat itu saja, malah ETHICA akan terus memenuhi segala yang diperlukan rumah kebajikan dari masa ke semasa. Malahan ada kalangan ahli ETHICA telah bersetuju untuk memberi sumbangan kewangan peribadi secara bulanan. ETHICA akan terus membantu selagi terdaya. Menerusi program ini, kita harap dapat memotivasikan pelajar supaya mempunyai kesungguhan dan keazaman untuk berjaya dari aspek pelajaran dan kehidupan.

Selain dari ahli ETHICA, program ini turut disertai 40 penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah Universiti Malaya. Pihak ETHICA telah mendapat kerjasama yang amat baik dari pihak pengurusan Kolej Ketiga untuk sama-sama menjayakan program ini. Malahan, Pengetuanya, Jamaludin Yacob berkata, program tersebut merupakan inisiatif terpuji yang dilakukan untuk memberi ruang kepada golongan mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat.

"Pelajar sepatutnya tidak hanya fokus kepada pelajaran semata-mata tetapi perlu lebih kerap didedahkan dengan program kemasyarakatan. Malah program ini turut menjadi medan kepada golongan mahasiswa untuk mendapatkan nasihat dan tips berguna daripada alumi universiti (ahli persatuan ETHICA) yang cemerlang di luar sana," Pengetua dalam ucapan ringkasnya.






Selain program penyerahan bantuan, ahli ETHICA bersama dengan penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah UM turut melakukan aktiviti senam robik dan gotong-royong membersihkan sekitar kawasan rumah kebajikan itu.






Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai hasrat dan matlamat ETHICA bersama Pertubuhan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin tersebut. Semuga pergorbanan dan komitmen dari ahli-ahli yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan program, mendapat keberkatan dan keredhaan Allah. Boleh baca di SINI untuk melihat liputan program di dalam MStar.






3 comments:

  1. Tahniah buat semua yg terlibat dalam program amal ini.

    ReplyDelete
  2. Proud to be part of the Team...tq all

    ReplyDelete